Berusahalah menjemput Rezeki...
BERUSAHALAH MENJEMPUT REZEKI
Ketika Amin keluar dari masjid, Amin ternampak tabung
masjid. Lalu dikeluarkan duit dari dompetnya untuk sedekah. Tetapi hanya ada Rm
5.00 sahaja..
“Ish..kalau aku derma duit ni kat tabung
masjid, aku nak makan apa” ?
Tak apa lah, insyaAllah ada rezeki lain
untuk aku…lalu Amin memasukkan duit ke dalam tabung masjid…
Pernahkah anda berada dalam situasi begitu? Jadi, apakah tindakan anda?
Adakah niat anda untuk menderma jadi terbantut?
Tanyalah diri anda…
Sahabat yang dikasihi,
Allah SWT adalah pemilik rezeki. Rezeki kita telah
ditentukan oleh Allah SWT sejak di Luh Mahfuz lagi. Setiap orang mempunyai
rezeki masing-masing dan hanya Allah yang tahu bila rezeki itu akan sampai
kepada tuannya.
Jadi mengapa kita sering berkeluh kesah
memikirkan soal rezeki? Bukankah rezeki itu milik Allah?
Kerana kita selalu fikir bahawa kita yang memberi
makan kepada keluarga kita. Akan tetapi kita lupa bahawa kita hanyalah
pengantara dan Allah itulah yang Maha Pemberi Rezeki.
Kita selalu fikir kita berjaya dalam pelajaran kerana
kita rajin belajar. Tetapi kita lupa bahawa segala ilmu dan kefahaman itu
datangnya daripada Allah. Sebab itu apabila kita gagal dalam pelajaran kita
berasa sangat sedih. Kerana apa? Kerana kita yakin kejayaan itu datang dari
usaha kita bukannya dari Allah.
Kita selalu merasa bimbang dan rungsing untuk
berkahwin atas sebab kewangan yang belum kukuh. Percayalah sahabat sekalian
dengan janji Allah, bahawa Allah SWT akan membuka luas pintu rezeki selepas
berkahwin.
Jangan diingat rezeki itu datang dari segi wang
ringgit sahaja, tetapi apabila Allah hadirkan suami, isteri dan mertua yang
membahagiakan, itu juga adalah rezeki. Jika Allah SWT telah berjanji, kenapa
kita perlu ragui? Yakinlah sahabat, setiap apa yang berlaku dalam hidup
kita ini, atas izin Allah SWT.
Jadi apa yang harus kita lakukan? Adakah hanya
menunggu rezeki itu datang?
Tidak. Tugas kita adalah berusaha menjemput rezeki
itu. Allah menilai kita melalui usaha. Semakin kuat pergantungan kita kepada Allah,
rezeki kita semakin hampir dan dekat. Namun dalam usaha kita menjemput rezeki,
Allah menilai beberapa perkara seperti niat, cara memperolehinya, kesungguhan
dan sumber yang digunakan.
Sememagnya bagi akal fikiran kita yang terhad, ada
pekara yang memang mustahil bagi kita untuk berlaku tetapi bagi Allah tiada
perkara yang mustahil. Oleh itu sahabat yang dikasihi, ingatlah jika Allah
mentakdirkan rezeki itu adalah milik kita maka rezeki itu akan tetap datang
kepada kita walaupun beribu manusia yang menghalang.
Comments
Post a Comment