Cantik Itu Subjektif...




Wanita sangat sinonim dengan kecantikan. Sememangnya menjadi fitrah wanita untuk sentiasa kelihatan cantik. Tidak salah wanita ingin tampil cantik setiap masa tetapi biarlah berpada-pada dan secara bersederhana. Allah SWT juga menuntut kepada kecantikan kerana Allah SWT itu cantik dan sukakan kecantikan.

Jika kita lihat ramai golongan wanita sanggup menghabiskan beratus-ratus ringgit hanya untuk membeli barang mekap sahaja. Namun harus diingat, janganlah terlalu banyak menghabiskan duit hanya untuk mencantikkan muka sahaja walhal duit itu kita boleh simpan untuk keperluan akan datang dan memberi kewangan kepada ibu bapa kita. Belilah mengikut kadar dan kemampuan kita.

Cantik itu subjektif. Ada yang memandang cantik itu dari segi fizikal, luaran, pemakaian dan sebagainya. Tetapi bagi saya kecantikan seseorang wanita terpancar apabila mempunyai ilmu pengetahuan yang luas, mempunyai sifat keperibadian yang baik dan sopan.

Selain itu, seseorang itu juga dinilai melalui cara pembawakan diri serta cara bercakap. Tidak ada gunanya  jika cantik rupa paras tetapi mengeluarkan kata-kata yang tidak sopan, hati yang penuh dengan sifat dengki dan negatif. Saya yakin apabila kita sibuk mencantikkan sifat-sifat dalaman maka sifat-sifat luaran itu akan terpancar secara semula jadi.

            Kalaulah kecantikan itu terletak pada wajah, wajah itu lambat laun akan dimakan usia kerana ianya bersifat sementara. Apabila usia meningkat, kulit mulai berkedut dan tentulah tidak cantik lagi. Jadi tentulah ini bukan ukuran kecantikan yang sejati dan abadi.

            Apabila bercakap mengenai kecantikan ianya bukanlah dikhususkan kepada golongan wanita sahaja malah golongan lelaki juga harus mengambil cakna dengan memperbaiki diri  ke arah kebaikan dan menjaga tutur kata agar dipandang tinggi dan dihormati oleh masyarakat. Janganlah sibuk untuk kelihatan tampan dan kacak dihadapan para wanita diluar sana.

            Kesimpulannya, sebagai hamba Allah SWT kita hendaklah melihat kecantikan dengan penilaian Allah SWT yang melihat kepada akhlak dan keperibadian hambaNya. Selaras dengan kedatanagn Rasulullah SAW untuk menyempurnakan akhlak manusia.  

Comments

Popular posts from this blog

Ikhlaskah Kita?

Jodoh dengan Kematian itu pasti...