KURANGKAN MENGATA, BANYAKKAN MENYAPA

       


                 
Kadang-kadang kita tidak sedar kata-kata apa yang keluar daripada mulut kita sendiri. Mungkin kita tidak perasan tetapi orang di sekeliling kita menyedarinya. Dari situ masyarakat boleh menilai bicara kita itu sama ada baik ataupun buruk. Jika bicaranya baik maka ambillah sebagai pedoman. Jika bicaranya salah maka jauhilah darinya. Malang sekali, masyarakat kini lebih memilih untuk berada dan bergaul dalam golongan yang banyak menceritakan perihal orang lain.

Mengapa kita suka berada dalam golongan tersebut, sedangkan kita mengetahui bahawa menceritakan perihal orang itu tidak baik dan berdosa? Pelik kan. Mungkin tidak menjadi pelik kepada orang yang suka mengata hal orang lain sebab sudah menjadi hobinya tetapi menjadi pelik bagi mereka yang menjaga diri dari orang yang sibuk mengata perihal orang lain. Sedarlah, bahawa inilah masyarakat sekarang.

Umumnya mengetahui, mengumpat ialah menceritakan atau menyebut keburukan atau kekurangan seseorang kepada orang lain. Rasulullah S.A.W. telah menjelaskan mengenai mengumpat sebagaimana sabdanya yang bermaksud "Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya" (Hadis Riwayat Muslim)
Dalam hadis lain ada mengatakan, dari Imran bin Husain r.a, Rasulullah S.A.W bersabda: “Aku diperlihatkan syurga. Aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum fakir (miskin). Lalu aku diperlihatkan neraka. Aku melihat kebanyakan penghuninya adalah para wanita.” (Hadis Bukhari Muslim)

Hadis di atas memperlihatkan bahawa ramai daripada kaum wanita masuk neraka kerana mulutnya. Jadi, berjaga-jagalah kaum wanita dalam bicaramu kerana nabi telah pun menyatakan bahawa kebanyakan penghuni neraka adalah dari kaum wanita. Berusahalah menjaga bicaramu sepertima kamu berusaha menjaga auratmu.

Diriwayatkan oleh Abu Umamah al-Bahili, di akhirat nanti seorang akan terkejut besar apabila melihat catatan amalan kebaikan yang tidak pernah dilakukannya di dunia. Maka, dia berkata kepada Allah: “Wahai Tuhanku, dari manakah datangnya kebaikan yang banyak ini, sedangkan aku tidak pernah melakukannya? Maka Allah menjawab: “Semua itu kebaikan (pahala) orang yang mengumpat engkau tanpa engkau ketahui.”

Kenapa perlu mengumpat atau mengutuk orang di belakangnya? Kita perlulah menegur secara berhikmah jika seseorang itu melakukan kesilapan. Jangan cuba untuk mengeruhkan keadaan dengan menceritakan perihal seseorang itu kepada rakan-rakan yang lain. Ini akan menyebabkan kita tergolong dalam golongan yang suka mengata dan mengumpat.

Ingatlah sahabat sekalian, jika kita suka mengata dan mengumpat seseorang itu di belakangnya, maka amalan kita akan menjadi, kerana semua pahala amalan kita akan dapat kepada orang tersebut. Janganlah dengan hanya sekadar mahu melepaskan marah atau ketidak-puasan hati yang sekejap itu, kita sanggup kita kehilangan banyak pahala.

Oleh itu, kita perlu bijak bertindak dengan merendahkan ego, bertegur sapa dengan orang yang kita marah atau tidak puas hati untuk memperbaiki atau menyelesaikan masalah tersebut. Jika kita hanya mengata dibelakangnya, kita tidak akan mendapat apa-apa bahkan pahala kita turut berkurangan. Jika kita tidak suka orang bercakap tentang diri kita, janganlah kita sesekali bercakap tentang orang lain.

Comments

Post a Comment

Popular posts from this blog

Cantik Itu Subjektif...

Ikhlaskah Kita?

Jodoh dengan Kematian itu pasti...